Followers

Tuesday, May 18

KAMI BERSEDIA !!

Wakil NGO yang telah bertolak ke Turki malam tadi (Selasa 18 Mei) untuk mengikuti rombongan ke GAZA.Semoga Allah menyelamatkan mereka.


'Kami bersedia'
Oleh Gaddafi Musli

2010/05/19

KUALA LUMPUR: Lapan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia akan menyertai konvoi kemanusiaan antarabangsa dari 50 negara ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut, menaiki sembilan kapal, pada 25 Mei ini.
Kumpulan yang diketuai Pengerusi Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi (Haluan) Noorazman Mohd Samsuddin bertolak ke Istanbul, Turki malam tadi, sebelum memulakan pelayaran bersejarah ke Semenanjung Gaza minggu depan.


Mereka akan menjadi sebahagian daripada konvoi NGO dari Turki iaitu Yayasan Kemanusiaan dan Hak Asasi (IHH) yang akan menghantar dua kapal menyertai konvoi berkenaan.


Noorazman berkata, kumpulan itu dianggotai wakil NGO dari seluruh negara termasuk Dr Syed Muhd Haleem Syed Hassan dari Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM), Alhami Hussain Suhaimi dari Forum Pulau Pinang, Dr Selamat Aliman dari Jemaah Islah Malaysia (JIM), Abdul Halim Mohamed Redzuan (Muslim Care), Jamaluddin Alias (Yayasan Amal) dan dua wakil dari Haluan.


“Kami sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk serangan terhadap konvoi oleh armada laut Israel“ katanya di sini, semalam.


Menurutnya konvoi akan membawa masuk lebih daripada 10 ribu tan barangan keperluan untuk diagihkan kepada lebih 1.5 juta penduduk Gaza.


“Kita akan membawa masuk bahan binaan seperti simen dan besi keluli untuk membina kemudahan tempat tinggal serta hospital untuk kegunaan masyarakat Palestin“ katanya.


Noorazman menjelaskan penduduk di Semenanjung Gaza kini berdepan dengan ancaman baru iaitu penularan penyakit barah akibat penggunaan senjata kimia oleh tentera Zionis.


“Saya dimaklumkan misi konvoi ini sangat kritikal kerana setiap bulan, seramai 150 penduduk Gaza dilaporkan menghidap penyakit barah akibat senjata haram yang digunakan Israel“ katanya.

Konvoi akan berkumpul terlebih dahulu di Antalya, Turki selama sehari sebelum berlepas ke perairan Semenanjung Gaza pada 25 Mei.


Dianggarkan 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk wakil dari Pertubuhan Perdana Global Peace Malaysia, Ahli Parlimen Parit Nizar Zakaria serta beberapa Ahli Parlimen Eropah akan menyertai konvoi berkenaan.


Tentera Zionis Israel mengenakan sekatan darat dan laut ke atas Semenanjung Gaza sejak tahun 2007 yang menyebabkan bantuan dari pertubuhan kemanusiaan seluruh dunia tidak dapat disalurkan terus kepada penduduk Palestin.

sumber:
myMETRO
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kamibersedia/Article

1 comment:

ukur kira said...

Takbir!!!

Allahu Akbar!