Followers

Thursday, May 13

Iman dan Pembentukan Ummah


Seorang Mujahid Islam bernama Fathi Yakan di dalam sebuah kitabnya telah menyatakan bahawa di dalam dunia ini terdapat 3 kategori manusia.

PERTAMA:-
Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka ini disebut sebagai golongan AL-DAHRIYUN. Sepertimana Allah telah menggambarkan sikap mereka dalam surah Al-An'aam ayat 29 dan surah Al-Jatsiyah ayat 24.

Allah berfirman:
"Dan tentu mereka akan mengatakan(pula): Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia saja, dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan".
(Surah Al-An'aam : 29)

"Dan mereka berkata: Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa, dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja".
(Surah Al-Jaatsiyah : 24)

KEDUA:-
Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang-ambing, aqidah mereka telah rosak, mereka melakukan sesuatu yang sesat dari jalan Allah dalam kehidupan duniawi namun mereka masih menyangka bahawa mereka berbuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah dan Hari Kiamat tetapi aqidah mereka hanya gambaran semata-mata yang terputus hubungannya dengan aktiviti hidup mereka. Mereka itu juga pada hakikatnya berfaham kebendaan(materialis)walaupun kadang-kala mereka melakukan kerja-kerja yang berbentuk kerohanian. Pada hakikatnya mereka masih tunduk kepada sistem taghut sebagaiman yang dijelaskan oleh Allah dalam surah An-Nisaa' :51 yang bermaksud:

"Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari Al-Kitab? Mereka percaya kepada yang disembah selain Allah dan Taghut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang beriman".

KETIGA:-
Golongan yang menganggap dunia ini ibarat ladang untuk mendapat hasilnya di akhirat nanti. Mereka benar-benar beriman kepada Allah, mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai dunia berbanding dengan Hari Akhirat. Perbandingan terdapat dalam surah Al-Anaam:32.

Firman Allah:
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main2 dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung Akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?".

Golongan ini menganggap bahawa dunia ini ibarat medan perlumbaan untuk taat kepada Allah dan bekerja mencari keredhaanNya, seluruh bidang hidupnya(ilmunya, perniagaannya, harta kekayaannya, rumahnya, masanya, fikirannya) diarahkan ke jalan Allah.

Untuk menjadi golongan ketiga ini, demi untuk membangunkan sebuah ummah Islamiyah yang betul-betul berjalan atas landasan Islam, maka langkah pertama yang mesti dimulakan terlebih dahulu ialah pembersihan jiwa anggota-anggota ummah daripada ubudiyah(perhambaan)kepada sesuatu selain daripada Allah SWT semata-mata dalam apa jua bentuk ubudiyah samada dalam iktikadnya, ibadahnya dan syariatnya. Konsep yang dilakukan ini hendaklah seikhlas hati. Perhambaan yang sempurna hendaklah berdasarkan kasih sayang dan ikhlas kerana Allah SWT.

Dengan melalui proses inilah lahirnya Kumpulan Islam Pertama yang dikenali sbg Generasi Al-Quran yang unik yang berjaya membangunkan masyarakat atau Ummah Islamiyah. Hanya dengan cara inilah yang mesti dibangunkan di mana-mana kumpulan masyarakat atau Ummah Islamiyah. Ummah yang berasaskan aqidah Tauhid tadi tidak akan dapat dibangunkan kecuali ianya telah sampai ke satu darjah kekuatan atau potensi yang mampu menghadapi cabaran dan tekanan masyarakat jahiliyyah. Kekuatan yang dimaksudkan itu ialah kekuatan aqidah, kekuatan syariah, kekuatan akhlak atau pembangunan moral, kekuatan organisasi dan semua jenis kekuatan yang sanggup menentang sistem masyarakat Jahili atau setidak-tidaknya mempertahankan diri dari di kuasai oleh masyarakat Jahili.

1 comment:

adkarika said...

Salam..

Mari kita bersama-sama berdoa dan berusaha untuk menjadi golongan yang ketiga ini..

Mudah2an Allah memberikan kekuatan pada kita untuk sama-sama menuju ke Jannah.