Followers

Thursday, September 3

Presiden HALUAN adakan kunjungan silaturahim ke Johor



Simpang Renggam, Johor, 31 Ogos 2009 - Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin B Abdul Rahman dan rombongan HALUAN Pusat telah mengadakan kunjungan silturahim ke HALUAN Johor. Mereka telah berada di Johor selama 3 hari bermula dari hari Jumaat, 28 Ogos 2009.

Program kunjungan HALUAN Pusat ini bermula dengan sesi taklimat yang telah disampaikan oleh Setiausaha HALUAN Johor, diikuti dengan majlis berbuka puasa bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa HALUAN Johor. Dr Abdullah seterusnya bersama-sama aktivis dan penggerak HALUAN Johor mengikuti program qiyamullail.

Pada hari berikutnya, Dr Abdullah telah menyampaikan satu ceramah untuk meningkatkan komitmen ahli-ahli HALUAN Johor dalam menjayakan kerja-kerja kemasyarakatan, bersesuaian dengan moto “Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.“ Antara lain, beliau menegaskan bahawa HALUAN kini sudahpun berubah dari hanya dianggotai oleh golongan menengah kepada golongan masyarakat biasa dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Rombongan Presiden HALUAN juga telah bersama-sama dengan ahli-ahli HALUAN, anak-anak dan masyarakat setempat, termasuk ibu bapa pelajar serta bekas pelajar-pelajar SRA Ghufran, untuk mengikuti program beriftar dan bersolat tarawih. Bersempena dengan program itu juga, Dr Abdulah telah merasmikan pelancaran ‘Tabung Pembinaan Kompleks Pendidikan HALUAN Johor Fasa 2A’.

Menurut Yang Di Pertua HALUAN Johor, Profesor Dr Sr Abdul Hakim Mohamed, Tabung Pembinaan Kompleks Pendidikan HALUAN Johor ini diadakan untuk membina sebuah kompleks pendidikan yang merangkumi bangunan akademik, asrama, surau dan juga dewan. Sebanyak RM54,000 telah berjaya dikutip, termasuk daripada sumbangan peribadi sebanyak RM20,000 oleh seorang nenek yang cucunya bersekolah di SRA Ghufran. Terdapat juga 2 utas rantai emas serta subang yang telah disumbangkan untuk pembinaan kompleks ini. Semoga semua para dermawan yang telah menginfakkan harta mereka untuk pembinaan kompleks pendidikan ini mendapat ganjaran yang terbaik dari Allah SWT. HALUAN Johor juga mengharapkan kepada semua lapisan masyarakat untuk turut sama-sama menjayakan pembinaan kompleks pendidikan ini.

Prof Dr Sr Abdul Hakim B Muhammad telah melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada yang hadir dalam program iftar Ramadhan 1430H, khususnya kepada Presiden HALUAN dan rombongannya.

Pada hari terakhir kunjungannya, Presiden HALUAN telah diberikan taklimat tentang perjalanan beberapa aktiviti serta projek kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh HALUAN Johor. Pihak HALUAN Pusat juga telah memberi pandangan dan nasihat sebagai panduan untuk HALUAN Johor memperkemaskan lagi gerak-kerja mereka.

Laporan oleh :
Dr Mohd Arba’ai B Shawal
Biro Seranta HALUAN Johor

www.haluan.org.my

No comments: