Followers

Wednesday, September 30

Continue my career

Liga Hoki Selangor: 20 pasukan bakal berentap

KUALA LUMPUR - Dua puluh pasukan bakal berentap merebut kejuaraan Liga Hoki Selangor 2009 yang dihidupkan semula di samping ganjaran keseluruhan berjumlah RM10,000 dari 3 Oktober hingga 11 Disember ini.

Timbalan Presiden Persatuan Hoki Selangor (SHA), Datuk Subahan Kamal berkata, liga ini dibahagikan kepada Divisyen Satu yang mengandungi Angkatan Tentera Malaysia, JLJ, OLAK, UiTM, Selangor Sikh, MBPJ, Sekolah Projek Seksyen 11 dan Polis Selangor.

"Divisyen Dua pula menampilkan Persatuan India Selangor (SIA), Persatuan Cikgu Kuala Selangor, UIA, Synergy, Politeknik Shah Alam, Tentera Udara Diraja Malaysia, Staf UIA, Jabatan Ukur, Sekolah Projek Selangor Damansara dan Veteran Polis Selangor," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan SHA mengumumkan Liga Hoki Selangor yang kembali beraksi selepas terhenti selama tujuh tahun pada sidang akhbar di Hotel Hilton, Petaling Jaya.

Antara pasukan yang menjadi pilihan untuk bergelar juara ialah OLAK yang muncul naib juara Kejohanan 8 Sebelah Selangor Piala K. Ramalingam (Ogos) dan johan Juara Sekolah-Sekolah (Julai), Sekolah Projek Seksyen 11.

Katanya, liga ini akan dilangsungkan dari Oktober hingga November di Stadium Hoki Pandamaran Klang dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak dengan lima pasukan teratas Divisyen Satu dan tiga pasukan teratas Divisyen Dua akan mara ke peringkat kalah mati pada Disember (suku akhir, separuh akhir dan akhir).

"Kos penganjuran liga ialah RM55,000 sementara juara keseluruhan akan membawa pulang RM3,000; naib juara RM1,500 dan tempat ketiga RM750 manakala RM1,000 dan RM750 masing-masing menanti juara dan naib juara setiap divisyen," katanya.

Menurutnya, dua pasukan teratas Divisyen Dua akan dinaikkan ke Divisyen Satu tahun depan manakala dua pasukan terbawah di situ, bakal diturunkan ke Divisyen Dua.

Katanya, 102 perlawanan akan dilangsungkan termasuk penentuan tempat keseluruhan dengan waktu mulanya ialah pada 4 dan 5.30 petang, 7.45 dan 9.30 malam setiap Sabtu sementara Ahad dari pukul 8 dan 9.30 pagi, 4 dan 5.30 petang, 7.45 dan 9.30 malam manakala pukul 4 dan 5.30 petang Sabtu dan Ahad di UIA Gombak.

Sebelum ini SHA turut terlibat dalam menganjurkan Sukan Selangor (Sukses) Kelapan dari 10 hingga 12 Julai lalu yang menyaksikan Gombak muncul juara, diikuti Klang dan Petaling Jaya di tempat ketiga.

Skuad negeri Selangor turut mencapai kejayaan yang menggalakkan dengan menduduki tempat ketiga divisyen dua Piala Razak selepas menewaskan Kedah 7-1 di Kuala Lumpur, Ogos lalu.

No comments: