Followers

Tuesday, September 29

Berita - Karya Hilal Asyraf dipuji didalam Berita Harian

Sastera.com: Karya penulis muda dipuji melangit

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

LAMAN Web http://aladibafzan.wordpress.com memuji secara melangit novel VT karya penulis muda, Hilal Asyraf, apabila mengiktirafnya sebagai karya yang membawa revolusi dalam bidang penulisan.

Novel realisme terbabit didakwa mampu menandingi kehebatan novel pop-Islam, Ayat Ayat Cinta karya Habiburrahman el-Shirazy berdasarkan kemampuan penulis menerapkan idea melalui pengalaman dan realiti kehidupan masyarakat, tanpa mengetengahkan unsur cinta.

Penulis web, Aladibafzan, dilaporkan berkata keberanian Hilal tidak memasukkan unsur cinta dalam novelnya, sebaliknya memilih nilai persahabatan dan kemanusiaan sebagai tema utama, wajar dipuji kerana karyanya itu ternyata melekat di hati pembaca.


“Novel ini adalah percubaan Hilal untuk terjun ke dalam dunia penulisan sastera serius kerana nilai yang diterapkan memberi kesan kepada pembaca. Mungkin inilah masanya untuk kita mengubah selera pembaca daripada novel pop-Islam dan picisan kepada karya berunsur Islam tulen,” laman web terbabit melaporkannya berkata.


Aladibafzan turut memuji gaya bahasa santai Hilal dalam novel berkenaan sehingga pembaca tidak ‘diberatkan’ untuk memahami kisah garapan penulis dan keseimbangan teknik dialog dan monolog menjadi tarikan kepada pembaca untuk menghayati novel sulung penulis itu.

“Malah pada penghujung setiap bab novel terbabit ditutup dengan teknik mendebarkan bagi memberi peluang kepada pembaca berfikir dan membuat andaian terhadap kesudahan kisah setiap bab,” lapor laman terbabit.

VT mengisahkan suka duka pasukan bola tampar Ma’had Attarbiyyah al-Islamiah Perlis (Matri) yang dianggotai penulis sendiri dan memaparkan kisah benar di sekolah berkenaan, selain menggunakan nama sebenar anggota sebagai watak.

Aladibafzan memperakukan kaitan aspek Islami dan realisme yang ditonjolkan dalam VT dapat dilihat menerusi unsur hubungan pencipta dengan manusia dan diterap dalam realiti pasukan bola tampar itu.

“Novel ini cuba membuktikan bahawa walaupun tidak mempunyai stamina atau kemudahan sukan yang lengkap, tetapi hubungan erat antara Tuhan dan manusia menjadi punca kejayaan yang hakiki, duniawi atau ukhrawi,” ujarnya dalam laman terbabit.

Hilal dikatakan cuba mengaitkan bahawa ketiadaan hubungan antara pencipta dan manusia boleh menjadi punca kerenggangan hubungan sesama manusia iaitu aspek yang jarang diketengahkan penulis tempatan yang lebih gemar kepada kisah cinta.

Penulis web itu turut tertarik dengan pemilihan latar yang menjadi ciri penting dalam menghasilkan karya bersifat realiti seperti tempoh persekolahan dari awal semester pertama (Januari) sehingga akhir cuti semester (akhir Mei- awal Jun), di samping waktu kejohanan pada pertengahan Mei.

Terus ke web:
http://ms.langitilahi.com/pengalaman-saya-masuk-berita-harian/

No comments: