Followers

Friday, September 11

Aku bersalah.. maafkanlah


Hari ini aku terasa ingin membelek buku kecil yang dihadiahkan oleh seorang pensyarah perempuan yang merupakan pensyarah kuliah mechanical and electrical. Buku ini dihadiahkan kepadaku kerana aku membaca doa pada pengakhiran kelas untuk semua student civil engineering.

Bukunya bertajuk 'Bisikan Sirr' yang dikarang oleh Hj Ibrahim Mohamad. Buku ini kecik dan tipis seakan-akan buku Al-Ma'thurat.

Sewaktu membaca dan mentelaah tazkirah-tazkirah di dalamnya, aku hatiku tertarik dengan nasihat pada Sirr 9 yang banyak menyentuh sikap seta sifat kita yang kadangkala kita tidak sedar dan sukar untuk dipraktikkan. Apabila membaca penulisan ini, hatiku terasa terkena dan terkesan serta aku akui memang aku ada sifat buruk ini. Ku pohon maghfirah Allah
atas segala kesilapan yang aku lakukan.

Dan kini aku ingin kongsikan bersama pembaca tentang nasihat ini. Semoga mendapat manfaat darinya.

Bisikan Sirr 9

Kenapa kita perlu malu mengakui kesilapan. Allah menegur Nabi (sallallahu 'alaihi wassalam) ketika Baginda memalingkan wajahnya dari Ibnu Maktum yang tua dan buta.

Allah juga menegur siteri Nabi apabila mereka membisikkan amana Nabi. Ayat-ayat teguran itu termaktub dalam Al-Quran yang dibaca hingga kini.

Nabi dan keluarganya tidak menyembunyikan kesilapan. Kesilapan membawa kebaikan sebagai iktibar buat umatnya.

Kesilapan adalah fitrah kerana di sana ada namaNya yakni Al-Ghaffur (Yang Maha Pengampun).

Tidak mahu mengakui kesilapan adalah menganggap dirinya sempurna dan kesombongan.

"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan diri...."(An-Nisaa':36)

Iblis tidak mahu mengakui kesilapannya apabila ditegur Allah, maka ia terus melakukan kesilapan demi kesilapan.

Rendahkan dirimu kepada Allah dengan memperbanyakkan taubat dan akui diri banyak melakukan kesilapan. Kesilapan tidak akan menghancurkan kehidupan.

Jika kita memang melakukan kesilapan, katakan "ya" apabila orang bertanya. Akui kesilapan dan berjanji untuk tidak mengulanginya. Beri peluang kepada diri tapi bukan dengan terus angkuh dan menutup kesilapan dengan pelbagai helah.

Kesilapan adalah ubat dariNya untuk menyembuhkan penyakit takabur, riya', cintakan kemasyhuran dan sebagainya.

Para kekasih Allah lebih suka dicerca daripada dipuja. Mereka tidak akan membela diri apabila dicerca keaibannya, melahan keburukan dirinya dikhabarkan lebih banyak lagi dari yang diketahui orang. Mereka bukan cintakan sanjungan manusia, hanya cinta Allah yang dicari.

Jangan rasa maruah telah jatuh apabila mengakui kesilapan.

Sebenarnya maruah dirimu lebih berharga apabila bangun berterus terang mengakui kesilapan, bangun dengan menyapu debu sama ada yang di hadapan atau di belakang.

Orang yang tidak pernah jatuh tidak akan tahu ada debu di belakangnya, kerana ia hanya melihat di hadapan. Ramai para kekasih Allah adalah mereka yang bangun dari lumpur kesilapan.


Awaslah, tenggelam dalam kepujian dan sanjungan amat berbahaya kepada hati.

Sang monyet jatuh dari pohon yang tinggi kerana terlena dengan angin yang lembut. Hati yang tidak benar-benar tenggelam dengan Allah akan binasa. Makin subur sifat takabur, riya', cintakan pengikut, munafik dengan sifat sebenar dan terbuka luas pintu duniawi yang menyeretnya kepada kelalaian. Ia akan terlena dengan kepujian, merasa dirinya sudah sempurna, tiada boleh ditegur dan bahayanya lagi ialah ia merasa aman dari murka Allah.

Ketahuilah bahawa kesilapan adalah ubat dan terus menerus melakukan kesilapan adalah racun. Tapi, tidak mahu mengakui kesilapan adalah kemusnahan!

Jadikanlah kesilapanmu sebagai anak tangga kepada kebaikan. Jadikanlah ia sebagai pedoman bagi orang lain. Hanya kepada Allah berhak kita malu dan bergantung.

Jika Dia mahukan kemuliaan kepada seseorang, tiada siapa yang dapat menjatuhkannya. Dan jika Dia mahu menghinakan seseorang, tiada siapa boleh menolongnya.

Sesungguhnya Allah amat suka kepada suara yang merintih mohon keampunan. Sesungguhnya Allah amat mencintai hamba yang berjalan di atas muka bumi dalam keadaan merendah diri.

"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang..." (Al-Israa':37)

Wallahu'alam.

1 comment:

imran-md said...

u r right Adam..
if we keep on refusing to admit our own mistakes, sampai bila pun kita x akn dpt berubah...

Post nta yg kali ni btul2 menepati firman Allah SWT dlm surah ar-Ra'du ayat 11..

(tgk sendiri ayat mana pakai Quran dari Mesir tu..he3)

Ramai org biasa dgr ayat tu, tp scara praktik hidupnya hnya "sejemput" shj yg mampu mghayati n dpt mengamalknny...

"mereka yg rugi adalah mereka yg merugikan diri mereka dan ahli keluarga mereka sendiri"...

Nauzubillahimin zalik....