Followers

Thursday, May 12

Orientasi Kebahagiaan


Kebahagian seseorang bergantung kepada cara dia menerima apa yang didatangkan Allah kepada-Nya. Sekiranya dia sedar bahawa apa jua yang didatangkan di dalam kehidupannya baik suka ataupun duka adalah tidak lain dan tidak bukan datangnya daripada Allah maka dia akan merasa bahagia tidak kira waktu dia susah ataupun senang. Hatinya akan sentiasa aman, bahagia dan tenteram.

Kerana, setiap yang didatangkan oleh Allah semuanya mempunyai tujuan yang baik-baik belaka. Dan tidak ada suatu apapun yang dijadikan oleh Allah s.w.t itu sia-sia. Maka dia akan sedar bahawa setiap yang datang kepadanya mempunyai hikmah yang membuatkan dirinya semakin dekat dengan Allah. Kerana, apabila datang duka hampa dia bersabar dan apabila datang senang lapang dia bersyukur.

Kadangkala manusia seringkali meletakkan kebergantungannya kepada manusia. Apabila bersahabat, dia kecewa dan gundah gulana apabila tidak dapat menerima kasih sayang yang diharapkan. Dan seringkali menyalahkan sahabatnya kerana tidak memahami dirinya. Ingatlah bahawa sahabat juga punyai kelemahan. Apabila kebergantungan itu diletakkan pada manusia yang lemah yang tiada kekuasaan sedikit pun maka dia akan kecewa apabila kelemahan itu datang kepadanya. Oleh itu, mengapa tidak bergantung kepada kekuasaan Allah s.w.t.?

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,

Berukhwahlah kerana Allah kerana apabila sahabat muram, membuatkan kita sabar dan muhasabah diri, apa tindak-tanduk yang menyebabkan sahabat mula berjauhan dengan kita dan kita mula mempertingkatkan diri. Apabila sahabat senyum membuatkan kita bersyukur kepada Allah dan semakin kuat amal ibadah kita kepada-Nya serta berdoa agar dikekalkan ukhwah ini.

Lihatlah, apabila bersahabat kerana Allah, apa jua tingkah laku sahabat membuatkan dia semakin dekat kepada-Nya. Sebab itulah seringkali diceritakan bahawa sahabat yang soleh, apabila melihatnya, berbicara dengannya, bergurau senda dengannya, tinggal bersamanya, membuatkan diri kita semakin dekat dengan Allah.

berukhwah adalah antara contoh yang mudah dan banyak lagi contoh yang boleh diambil. Seperti hubungan suami isteri kerana Allah; apabila suka dia akan berlemah lembut dan apabila tidak suka dia akan bersabar dan tidak akan menyakiti pasangan. Begitu juga dengan berorganisasi kerana Allah, jika pendapatnya dia diterima dia bersyukur kepada Allah s.w.t., dan apabila pendapatnya ditolak dia akan bersabar dan berlapang dada.

Rakan-rakan yang dirahmati Allah sekalian,

Ingatlah bahawa kebergantungan hanyasanya kepada Allah s.w.t. sangat penting dalam setiap amal di dunia ini kerana apabila melakukan sesuatu dengan berorientasikan Allah s.w.t. maka apabila datang kegagalan kita tidak akan kecewa malah bersabar, dan apabila datang kejayaan kita tidak akan sombong malah bersyukur. Itulah, biar datang apa jua keadaan dia akan semakin dekat dengan Allah kerana dia faham bahawa apa jua yang didatangkan oleh Allah, semuanya baik-baik belaka, tiada yang sia-sia dan dia juga sangat yakin dengan janji-janji Allah s.w.t.