Followers

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Thursday, May 12

Orientasi Kebahagiaan


Kebahagian seseorang bergantung kepada cara dia menerima apa yang didatangkan Allah kepada-Nya. Sekiranya dia sedar bahawa apa jua yang didatangkan di dalam kehidupannya baik suka ataupun duka adalah tidak lain dan tidak bukan datangnya daripada Allah maka dia akan merasa bahagia tidak kira waktu dia susah ataupun senang. Hatinya akan sentiasa aman, bahagia dan tenteram.

Kerana, setiap yang didatangkan oleh Allah semuanya mempunyai tujuan yang baik-baik belaka. Dan tidak ada suatu apapun yang dijadikan oleh Allah s.w.t itu sia-sia. Maka dia akan sedar bahawa setiap yang datang kepadanya mempunyai hikmah yang membuatkan dirinya semakin dekat dengan Allah. Kerana, apabila datang duka hampa dia bersabar dan apabila datang senang lapang dia bersyukur.

Kadangkala manusia seringkali meletakkan kebergantungannya kepada manusia. Apabila bersahabat, dia kecewa dan gundah gulana apabila tidak dapat menerima kasih sayang yang diharapkan. Dan seringkali menyalahkan sahabatnya kerana tidak memahami dirinya. Ingatlah bahawa sahabat juga punyai kelemahan. Apabila kebergantungan itu diletakkan pada manusia yang lemah yang tiada kekuasaan sedikit pun maka dia akan kecewa apabila kelemahan itu datang kepadanya. Oleh itu, mengapa tidak bergantung kepada kekuasaan Allah s.w.t.?

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,

Berukhwahlah kerana Allah kerana apabila sahabat muram, membuatkan kita sabar dan muhasabah diri, apa tindak-tanduk yang menyebabkan sahabat mula berjauhan dengan kita dan kita mula mempertingkatkan diri. Apabila sahabat senyum membuatkan kita bersyukur kepada Allah dan semakin kuat amal ibadah kita kepada-Nya serta berdoa agar dikekalkan ukhwah ini.

Lihatlah, apabila bersahabat kerana Allah, apa jua tingkah laku sahabat membuatkan dia semakin dekat kepada-Nya. Sebab itulah seringkali diceritakan bahawa sahabat yang soleh, apabila melihatnya, berbicara dengannya, bergurau senda dengannya, tinggal bersamanya, membuatkan diri kita semakin dekat dengan Allah.

berukhwah adalah antara contoh yang mudah dan banyak lagi contoh yang boleh diambil. Seperti hubungan suami isteri kerana Allah; apabila suka dia akan berlemah lembut dan apabila tidak suka dia akan bersabar dan tidak akan menyakiti pasangan. Begitu juga dengan berorganisasi kerana Allah, jika pendapatnya dia diterima dia bersyukur kepada Allah s.w.t., dan apabila pendapatnya ditolak dia akan bersabar dan berlapang dada.

Rakan-rakan yang dirahmati Allah sekalian,

Ingatlah bahawa kebergantungan hanyasanya kepada Allah s.w.t. sangat penting dalam setiap amal di dunia ini kerana apabila melakukan sesuatu dengan berorientasikan Allah s.w.t. maka apabila datang kegagalan kita tidak akan kecewa malah bersabar, dan apabila datang kejayaan kita tidak akan sombong malah bersyukur. Itulah, biar datang apa jua keadaan dia akan semakin dekat dengan Allah kerana dia faham bahawa apa jua yang didatangkan oleh Allah, semuanya baik-baik belaka, tiada yang sia-sia dan dia juga sangat yakin dengan janji-janji Allah s.w.t.

Friday, April 1

Kemudahan setelah Kesusahan

jika kegelapan semakin pekat maka fajar pun akan tampak dan memancarkan cahaya..

Mudahan-mudahan kemudahan dapat menjadi harapan
Kami menyampaikan alasan kepada jiwa kami dengan harapan

Maka janganlah gentar jika engkau dilanda kegundahan yang akan
menghentikan nafas kehidupan

Sebab kondisi terdekat seseorang dengan kemudahan saat dia putus harapan


Jika perkara semakin sempit maka solusinya akan semakin luas, jika tali semakin dikencangkan maka akan terputus, dan jika kegelapan semakin pekat maka fajar pun akan tampak dan memancarkan cahaya, ketetapan yang berlaku, hikmah yang telah ditetapkan, maka hendaknya jiwamu redha, setelah dahaga ada air dan keteduhan, dan setelah kegersangan ada gerimis dan hujan. Wahai orang yang menangis kerana kepedihannya, sakit dan keletihannya, wahai orang yang dilanda berbagai penderitaan yang tak terperikan, mudah-mudahan Allah memberikan kemudahan atau jalan keluar dari sisi-Nya.

Biarkan takdir-takdir itu berlaku sebagaiman yang telah ditetapkan padanya
dan janganlah melalui malammu melainkan dalam keadaan lapang dada

Di antara kerdipan mata dan keadaan terjaga
Allah merubah dari satu keadaan pada keadaan lainnya

"Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan."(Ath-Thalaq[65]:7)


Wednesday, February 16

Anda cemburu?


CEMBURU, setiap daripada kita pasti mempunyai sifat ini. Sifat cemburu ini terbahagi kepada dua iaitu cemburu yang baik dan cemburu yang yang dibenci.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud, “Rasa cemburu ada yang disukai Allah dan ada pula yang tidak disukai-Nya. Kecemburuan yang disukai Allah adalah yang disertai alasan yang benar. Sedangkan yang dibenci ialah yang tidak disertai alasan yang benar.”

(HR Abu Daud)

Cemburu yang kita boleh lihat sebagai contoh seorang yang cemburu akan kebahagiaan orang lain, kemewahan harta benda orang lain, kehebatan orang lain dalam menuntut ilmu, ketabahan orang lain dalam menempuh cabaran hidup, cemburu apabila adik beradik yang lain lebih dikasihi, cemburu melihat pasangan bersama atau bermesra dengan orang lain, mungkin juga seorang isteri yang cemburu akan suaminya dan banyak lagi.

Lalu, apakah yang membuatkan cemburu itu menjadi baik dan menjadi tidak baik? Kita perlu menilai kembali apakah cemburu itu didasarkan hanya dengan sangkaan kita rentetan daripada sifat sangka buruk kita. Tiada bukti dan hanya sangkaan semata-mata, lantaran itu kita menuduh dan melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Jika ya, maka cemburu seperti ini amat dibenci oleh Allah s.w.t.

Adapula cemburu itu menjadi baik apabila tidak disandarkan pada sangkaan semata dan didasarkan di atas kepastian dan kenyataan. Sifat cemburu yang baik ini mempunyai kesan kepada diri kita seperti terasa semakin dekat dengan Allah s.w.t., diri rasa tertingkat dan semakin bertambah amalan dan baik pula akhlak kita.

Semoga perasaan cemburu yang ada pada kita itu adalah yang menjadikan semakin tertingkat iman kita, k. mari sama-sama kita praktikkan.

Saturday, November 20

Tempoh Masa Yang Sama

Semua manusia dikurniakan tempoh masa yang sama iaitu 24 jam sehari
dalam masa 24 jam adakah ianya diisi dengan kebaikan?
atau diisi dengan kelalaian dan kemaksiatan?

Rasa sibuk?
Sibuk dengan hal-hal keduniaan? Atau hal-hal Akhirat?

Anda bagaimana?

Wednesday, September 29

Menolong, menutup 'aib sahabat dan menuntut ilmu

Maksud Hadis:

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu'anhu daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, baginda bersabda:

Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan -kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang yang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan akhirat. Barangsiapa yang menutup ke'aiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup ke'aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasan ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di keliling oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya.

Hadis diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dengan lafaz ini.

Tuesday, September 21

Surat Cinta Buah Hati yang Lesu


Surat ini kutujukan untuk diriku sendiri serta saudara-saudaraku yang Insya Allah tetap mencintai Allah swt dan Rasul-Nya di atas segala-galanya. Kerana hanya cinta itulah yang dapat mengalahkan segalanya, cinta hakiki yang membuat manusia melihat segalanya dari sudut pandang yang berbeza, lebih bermakna dan indah.

Surat ini kutujukan pula untuk jiwaku serta jiwa saudara-saudaraku yang mulai lelah menapaki jalan-Nya, ketika seringkali mengeluh, merasa terbebani bahkan terpaksa untuk menjalankan amanah dakwah yang sangat mulia. Padahal tiada kesakitan, kelelahan, serta kepayahan yang dirasakan oleh seorang hamba melainkan Allah swt akan mengampuni dosa-dosanya dan memberinya ganjaran dengan sebaik-baik ganjaran.

Surat ini kutujukan untuk hatiku dan hati saudara-saudaraku yang kerap kali terisi oleh cinta selain-Nya, yang mudah sekali terlena oleh indahnya dunia, yang terkadang melakukan segalanya bukan kerana-Nya. Lalu di ruang hatinya yang kelam merasa senang jika dilihat dan dipuji orang lain, entah dimana keikhlasan. Maka saat ini kurasakan kekecewaan dan kelelahan kerana kulakukan tidak sepenuhnya berlandaskan keikhlasan, padahal Allah tidak pernah menanyakan hasil. Dia hanya akan melihat kesungguhan dalam berproses dan dalam berusaha.

Surat ini kutujukan untuk ruh-ku dan ruh saudara-saudaraku yang mulai terkikis oleh dunia yang menipu, serta membiarkan fitrahnya tertutup oleh maksiat yang membiarkannya untuk dinikmati. Lalu dimanakah kejujuran diletakkan ? , dan kini terabaikan sudah secara nurani yang bersih, saat ibadah hanya rutin semata, saat fizikal dan fikiran disibukkan oleh dunia, saat wajah menampakkan kebahagiaan yang tepu. Cubalah sejenak luangkan waktu untuk melihat hatimu menangis, tertawa, atau merana.

Surat ini kutujukan untuk diriku dan saudara-saudaraku yang sombong, yang terkadang bangga pada dirinya sendiri, sungguh tiada satupun yang membuat kita lelah di hadapan-Nya, selain ketaqwaan. Padahal kita menyedari bahawa tiap-tiap jiwa akan merasakan mati namun kita masih leka dengan kefanaan.

Surat ini kutujukan untuk hatiku dan hati saudara-saudaraku yang mulai mati, saat tiada getar penyesalan ketika kebaikan terlewat begitu saja, saat tiada rasa berdosa ketika menzalimi diri dan saudaranya.

Akhirnya, surat ini kutujukan untuk jiwa yang masih memiliki cahaya meskipun sedikit, cubalah kau jaga agar cahaya itu tidak padam. Maka terus kumpulkan cahaya itu hingga ia dapat menerangi wajah-wajah di sekelilingnya, memberikan keindahan Islam yang sesungguhnya. Hanya dengan kekuatan dari-Nya. Ya Allah saksikanlah, sesungguhnya aku telah menyampaikan. Wallahu ’alam bish-shawab.

Semoga tetap istiqamah di jalan-Nya. Sungguh, syurga takkan pernah pantas ditukar dengan lalai dan kemalasan.

Dari Saudaramu yang mencintaimu kerana Allah ...

Ibnu Sa'id Al Faqir


sumber: http://www.haluantarbawi.com

Wednesday, June 30

kembara menyelusuri cahaya

photo from~klinik fotografi kompas


Menyelusuri kedaifan diri,
kadang-kadang terlupa
bahawa dirimu masih belum bersedia
masih belum cukup ilmu
masih belum cukup amal
masih belum cukup kekuatan
untuk menapaki jalan ke Syurga

kau perlu berubah..

berhijrahlah..

sedarilah jalan ini tidak seenak angan-anganmu
kukuhkan bahteramu
cukupkan bekalanmu
kurangkan bebanan dosamu
ikhlaskanlah jiwamu
untuk berhijrah
dan berjihad di jalan-Nya

oleh itu..
berhijrahlah kepada cahaya itu
yakinlah bahawa Allah akan memberikan
kemenangan dan kebahagiaan yang hakiki...

InshaAllah...

"Orang-orang yang beriman dan
berhijrah serta berjihad di jalan Allah,
dengan harta dan jiwa mereka,
adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah.
Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan"

(Surah At-Taubah 9:20)

berubahlah...

Thursday, May 13

Peringatan untuk Hati


Dari Abu Idris al-Khawlani rahimahullah, katanya: "Saya memasuki masjid Damsyik, tiba-tiba di situ ada seporang pemuda yang bercahaya giginya - yakni suka sekali tersenyum - dan sekalian manusia besertanya. Jikalau orang-orang berselisih mengenai suatu hal, mereka lalu menyerahkan persoalan itu kepadanya dan mereka mengeluarkan uraian dari pendapatnya, kemudian saya bertanya mengenai dirinya, lalu menerima jawapan: "Ini adalah Mu'az bin Jabal. Setelah hari esoknya, saya datang pagi-pagi sekali, lalu saya dapati Mu'az sudah mendahului saya datang paginya. Ia saya temui sedang bersembahyang. Kemudian saya menantikannya sehingga ia selesai menyelesaikan solatnya. Seterusnya saya pun mendatanginya dari arah mukanya, dan berkata: "Demi Allah, sesungguhnya saya ini mencintaimu kerana Allah." Ia berkata: "Kerana Allahkah?" Saya menjawab: "Ya, kerana Allah." Ia berkata: "Kerana Allah?" Saya menjawab: "Ya, kerana Allah." Mu'az lalu mengambil belitan selendangku, kemudian menarik tubuhku kepadanya, terus berkata: "Bergembiralah engkau, kerana sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Allah Tabaraka wa Ta'ala berfirman - dalam hadis qudsi: "Wajiblah kecintaanKu itu kepada orang yang saling cinta-mencinta kerana Aku, duduk-duduk bersama kerana Aku, saling ziarah-menziarah kerana Aku dan saling hadiah-menghadiahi kerana Aku."

-Hadis shahih diriwayatkan oleh Imam Malik dalm Almuwaththa' dgn sanad yang shahih.-

Iman dan Pembentukan Ummah


Seorang Mujahid Islam bernama Fathi Yakan di dalam sebuah kitabnya telah menyatakan bahawa di dalam dunia ini terdapat 3 kategori manusia.

PERTAMA:-
Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka ini disebut sebagai golongan AL-DAHRIYUN. Sepertimana Allah telah menggambarkan sikap mereka dalam surah Al-An'aam ayat 29 dan surah Al-Jatsiyah ayat 24.

Allah berfirman:
"Dan tentu mereka akan mengatakan(pula): Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia saja, dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan".
(Surah Al-An'aam : 29)

"Dan mereka berkata: Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa, dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja".
(Surah Al-Jaatsiyah : 24)

KEDUA:-
Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang-ambing, aqidah mereka telah rosak, mereka melakukan sesuatu yang sesat dari jalan Allah dalam kehidupan duniawi namun mereka masih menyangka bahawa mereka berbuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah dan Hari Kiamat tetapi aqidah mereka hanya gambaran semata-mata yang terputus hubungannya dengan aktiviti hidup mereka. Mereka itu juga pada hakikatnya berfaham kebendaan(materialis)walaupun kadang-kala mereka melakukan kerja-kerja yang berbentuk kerohanian. Pada hakikatnya mereka masih tunduk kepada sistem taghut sebagaiman yang dijelaskan oleh Allah dalam surah An-Nisaa' :51 yang bermaksud:

"Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari Al-Kitab? Mereka percaya kepada yang disembah selain Allah dan Taghut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang beriman".

KETIGA:-
Golongan yang menganggap dunia ini ibarat ladang untuk mendapat hasilnya di akhirat nanti. Mereka benar-benar beriman kepada Allah, mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai dunia berbanding dengan Hari Akhirat. Perbandingan terdapat dalam surah Al-Anaam:32.

Firman Allah:
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main2 dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung Akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?".

Golongan ini menganggap bahawa dunia ini ibarat medan perlumbaan untuk taat kepada Allah dan bekerja mencari keredhaanNya, seluruh bidang hidupnya(ilmunya, perniagaannya, harta kekayaannya, rumahnya, masanya, fikirannya) diarahkan ke jalan Allah.

Untuk menjadi golongan ketiga ini, demi untuk membangunkan sebuah ummah Islamiyah yang betul-betul berjalan atas landasan Islam, maka langkah pertama yang mesti dimulakan terlebih dahulu ialah pembersihan jiwa anggota-anggota ummah daripada ubudiyah(perhambaan)kepada sesuatu selain daripada Allah SWT semata-mata dalam apa jua bentuk ubudiyah samada dalam iktikadnya, ibadahnya dan syariatnya. Konsep yang dilakukan ini hendaklah seikhlas hati. Perhambaan yang sempurna hendaklah berdasarkan kasih sayang dan ikhlas kerana Allah SWT.

Dengan melalui proses inilah lahirnya Kumpulan Islam Pertama yang dikenali sbg Generasi Al-Quran yang unik yang berjaya membangunkan masyarakat atau Ummah Islamiyah. Hanya dengan cara inilah yang mesti dibangunkan di mana-mana kumpulan masyarakat atau Ummah Islamiyah. Ummah yang berasaskan aqidah Tauhid tadi tidak akan dapat dibangunkan kecuali ianya telah sampai ke satu darjah kekuatan atau potensi yang mampu menghadapi cabaran dan tekanan masyarakat jahiliyyah. Kekuatan yang dimaksudkan itu ialah kekuatan aqidah, kekuatan syariah, kekuatan akhlak atau pembangunan moral, kekuatan organisasi dan semua jenis kekuatan yang sanggup menentang sistem masyarakat Jahili atau setidak-tidaknya mempertahankan diri dari di kuasai oleh masyarakat Jahili.

Wednesday, April 14

Resah seorang da'ie

Hari demi hari
Kerisauan mengganggu konsentrasi-ku
Kebosanan menghiasi sudut hati-ku
Tekanan menyesakkan jiwa-ku
satu demi satu...
aku sesak, lemas dan penat.

Tuhan, saat ini aku...
tidak lagi berdaya untuk mengangguk kepala, bangun bersedia
apatah lagi bergerak melaksanakan tugas-ku, tugas dia dan tugas mereka
sungguh!, aku tidak mampu.

Tuhan, saat sebegini...aku bimbang
satu demi satu anggukan-ku, bangun-ku dan gerak-ku
kerana dia atau mereka tetapi...
bukan kerana ikhlas mendamba redha-Mu semata.

Tuhan, aku penat, aku tidak mampu dan aku ingin sangat untuk rehat,
Namun...kerehatan bagi seorang da'ie adalah kepenatan
dalam melakukan tugas dakwah.
Justeru ituTuhan, berilah kekuatan dalam jiwa-ku,
ketenangan dalam hati-ku dan tumpuan pada konsentrasi-ku
dalam tugas ini dan...
Jadikanlah rehat-ku hanya apabila roh sekujur badan kerdil ini
telah kembali kepada-Mu.
Di saat itu redhailah aku wahai Tuhan-ku.

-dipetik dari majalah HALUAN Nov/Dis 2006-

Sunday, April 11

Kesunyian


Siapa yang mencintai Allah
pasti semakin sunyi dengan manusia
di tengah keramaian rasa keseorangan
saat kesukaan dia berduka
orang ketawa dia menangis
jasad dengan manusia
tetapi hati tetap dengan Allah

"ketenangan dan kebahagiaan
adalah hembusan dari langit
diturunkan ke lubuk hati
orang yang beriman
mereka akan tetap berhati teguh,
dikala insan lain mengalami kegoncangan."


Friday, February 12

Sepuluh Wasiat Hasan Al-Banna

1. Segeralah tunaikan solat
2. Bacalah Al-Quran
3. Berusahalah bercakap dalam Bahasa Arab fusha
4. Janganlah saudara banyakkan perdebatan
5. Janganlah banyak ketawa
6. Saudara jangan bergurau
7. Jangan mengangkat suaramu lebih dari yang diperlukan oleh pendengar
8. Saudara jangan mengumpat
9. Berkenalanlah dengan orang yang saudara temui
10. Kewajipan lebih banyak dari waktu



bersama kita selami inti buku Sepuluh Wasiat oleh
As-syahid Imam Hasan Al-banna
untuk kita amalkan


Friday, January 1

Jalan ke hati


Salah seorang sahabat pernah bertanyakan kepada saya tentang cara-cara yang paling berkesan untuk memikat hati.

Saya menjelaskan: "kita beriman bahawa semua manusia adalah sama taraf. Perkara ini memang benar-benar berlaku dan dapat diperhatikan di masjid-masjid dan surau-surau. Orang miskin duduk bersebelahan dengan orang kaya dan orang yang lemah duduk bergandingan dengan orang kuat. Tiada perbezaan taraf antara mereka. Tetapi fenomena ini cuma wujud di situ sahaja, tidak pula diteruskan di tempat-tempat lain. Apakah anda sendiri apabila terserempak dengan pekerja yang sedang menyapu sampah ditepi jalan lalu anda memberi salam kepadanya?"
Dia menjawab: "tidak."

Saya berkata lagi: "Itu kerana anda tidak ambil peduli terhadapnya. Rasulullah s.a.w melarang kita berbuat demikian sebagaimana sabda baginda: "Janganlah kamu hina sesuatu kebaikan sekali pun berjumpa saudaramu dengan muka yang berpaling (ke arah lain)." Sesungguhnya anda apabila bertemu lalu memberi salam kepadanya, tidak kira samada dia anda kenali atau tidak sebelum itu maka anda sebenarnya telah menghormati fitrah kejadiannya sebagai manusia itu sendiri di samping memberi harapan kepadanya.

::Abbas As-saisi
::Jalan ke Hati

Saturday, August 29

MALAM KE-9: RAMADHAN BULAN ISTIMEWA


Ketika ibadah Ramadhan tahun lalu kita akhiri, salah satu harapan yang bermain dalam jiwa kita adalah keinginan untuk menikmati bulan Ramadhan pada tahun berikutnya. Insya Allah, harapan itu akan dipenuhi, kerana kita berharap semoga Allah SWT benar-benar menyampaikan usia kita pada Ramadhan tahun ini. Apa keistimewaan yang ada di dalam bulan Ramadhan ini?.

1. BULAN AL-QUR’AN

· Ramadhan seringkali disebut dengan Syahru Qur’an (Bulan Al-Qur’an), kerana awal diturunkannya Al-Qur’an adalah pada bulan Ramadhan.

· Dengan berpedoman pada Al-Qur’an, pasti perjalanan hidup manusia terarah kepada kebahagiaan, kedamaian, ketenteraman dan kemakmuran serta keadilan.

· Realiti sekarang, kaum muslimin semakin jauh dari Al-Qur’an, bermula dari tidak mampu membacanya, jika boleh membaca tapi tidak rajin membacanya, rajin membaca tapi tidak memahaminya, memahami tapi tidak mengamalkannya atau sudah mengamalkannya tetapi hanya untuk dirinya sendiri, belum merangsang atau mengajak orang lain untuk mengamalkannya.

· Al-Qur’an berfungsi sebagai petunjuk dalam menilai sesuatu, sebagai kayu ukur, kerana Al-Qur’an berfungsi untuk membedakan antara yang haq (benar) dengan yang batil (salah).

· Allah berfirman yang ertinya: Bulan Ramadhan adalah bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dan yang batil). (SURAH 2:185).

2. PINTU SYURGA DIBUKA, PINTU NERAKA DITUTUP.

· Bukanlah maksudnya bila datangnya Ramadhan, secara automatik kita akan masuk syurga, tapi ia boleh diraih jika kita penuhi Ramadhan dengan segala bentuk kebajikan walaupun sedikit.

· Ramadhan bertindak sebagai perangsang untuk melaksanakan segala aktiviti kebajikan dan menghantarkan kita ke pintu syurga.

· Dengan ibadah Ramadhan yang sebaik-baiknya, seorang muslim semakin kecil kemungkinan masuk ke dalam neraka. Itulah salah satu maksud pintu syurga dibuka lebar dan pintu neraka ditutup rapat dengan sebab puasa Ramadhan sebagaimana hadits Nabi SAW yang bermaksud:

Jika tiba bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu semua syaitan (HADITH RIWAYAT. Bukhari dan Muslim).

3. DIBELENGGU SYAITAN

· Hadits di atas juga menyebutkan bahawa syaitan-syaitan dibelenggu ketika bulan Ramadhan tiba, hal ini kerana dengan terlaksananya ibadah Ramadhan dengan sebaik-baiknya, syaitan merasa amat sukar menggoda manusia, sehingga selama Ramadhan berlalu, syaitan betul-betul merasa terbelenggu.

· Dengan demikian, sebagai muslim, kita harus meningkatkan usaha dalam membelenggu syaitan melakukan amalnya menyesatkan manusia,

· Bulan Ramadhan adalah kesempatan yang amat baik untuk melatih kekuatan rohani kita untuk menyekat ruang gerak syaitan dalam diri kita.

4. DIAMPUNI DOSA.

· Ibadah Ramadhan yang dikerjakan dengan sebaik-baiknya akan diampunkan dosa-dosa kita dimasa lalu oleh Allah SWT.

· Dosa yang kita lakukan jika dihitung terlalu banyak, dosa anak kepada orang tua, dosa orang tua kepada anak, dosa isteri kepada suami, dosa suami kepada isteri, dosa pemimpin pada rakyat, dosa rakyat pada pemimpin, dosa murid kepada guru, dosa guru kepada murid dan begitulah seterusnya. Rasulullah SAW bersabda:“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap redha Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” (HADITH RIWAYAT Bukhari).

· Ambillah peluang ini kerana tahun depan kita masih belum pasti akan bertemu kembali dengan Ramadhan.

5. MEMPERKUATKAN PERISAI PERTAHANAN.

· Dalam salah satu hadits yang diriwayatkan Ahmad dan Ibnu Majah, Rasulullah SAW menyatakan: as saumu junnatun (puasa itu adalah perisai).

· Dalam kehidupan seorang muslim, terdapat peperangan yang bergolak dalam jiwanya I di antara kebenaran dan kebatilan. Untuk menang dalam peperangan itu, seorang muslim harus memiliki perisai pertahanan yang kuat sehingga mampu menghalau segala godaan syaitan.

· Usaha memperkuatkan perisai pertahanan rohani merupakan sesuatu yang amat penting.

· Tersebar luasnya kemaksiatan dan kemungkaran, serta sukarnya memperkukuhkan kesatuan sesama muslimvadalah disebabkan lemahnya kekuatan rohani yang membolehkan syaitan menjadi begitu berkuasa atas diri kita.

6. PAHALA BESAR

· Keistimewaan yang terbesar dari bulan Ramadhan adalah ganjaran pahala yang begitu banyak kepada sesiapa saja yang melakukan kebajikan atau amal yang soleh. Hal ini akan membuatkan kita semakin terlatih atau terbiasa untuk melakukan amal-amal yang soleh.

· Sebagai satu contoh, untuk orang yang memberi makan atau minum kepada orang yang berbuka puasa, maka Allah SWT akan memberikan pahala puasa sepertimana pahala orang yang diberi makan atau minum itu tanpa mengurangi pahala orang tersebut.

Dengan itu, kehadiran Ramadhan pada tahun ini perlu kita maksimakan ubudiyah kita sebagai momentum untuk meningkatkan proses tarbiyyah (pendidikan) bagi diri, keluarga dan masyarakat kita ke arah terwujudnya peribadi, keluarga dan masyarakat yang selalu berada dalam ketaqwaan kepada Allah SWT.

sumber:
Ma'ahad Attarbiyyah Al-Islamiyyah

MALAM KE-8: RAHSIA PUASA


Sebagai muslim yang sejati, kedatangan dan kehadiran Ramadhan yang mulia pada tahun ini merupakan sesuatu yang amat membahagiakan kita. Betapa tidak, dengan menunaikan ibadah Ramadhan, amat banyak keuntungan yang akan kita peroleh, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat kelak. Di sinilah pentingnya bagi kita untuk membuka tabir rahsia puasa.


Dr Yusof Al-Qordhowi dalam kitab Ibadah Fil Islam menyatakan 5 rahsia puasa :-


1. Menguatkan Jiwa

· Islam mengajak untuk mengawal hawa nafsu, bukan untuk membunuh hawa nafsu.

· Firman Allah SWT : Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya (SURAH 45:23).

· Dengan ibadah puasa, maka manusia akan berhasil mengawal hawa nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat, bahkan dengan demikian, manusia akan memperoleh darjat yang tinggi seperti layaknya malaikat yang suci dan ini akan membuatnya mampu mengetuk dan membuka pintu-pintu langit hingga segala do’anya dikabulkan oleh Allah SWT.

· Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: Ada tiga golongan yang tidak ditolak do’a mereka: orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil dan do’a orang yang dizalimi (HADITH RIWAYAT. Tirmidzi).


2. Mendidik Kemahuan.

· Puasa mendidik seseorang untuk memiliki kemahuan yang bersungguh-bersungguh dalam melakukan kebaikan, meskipun untuk melaksanakan kebaikan itu terhalang oleh berbagai masalah.

· Puasa yang baik membuat seseorang terus mempertahankan keinginannya yang baik, meskipun peluang untuk menyimpang begitu besar. Kerana itu, Rasulullah SAW menyatakan: Puasa itu sebahagian dari kesabaran.

· Kekuatan rohani akan membuat seseorang tidak akan lupa diri meskipun telah mencapai keberhasilan atau kenikmatan duniawi yang sangat besar, dan kekuatan rohani juga akan membuat seorang muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.


3. Menyihatkan Badan.

· Perkara ini bukan sahaja diakui oleh Rasulullah malah diakui oleh para doktor dan pakar-pakar kesihatan dunia dan tidak perlu meragukannya lagi.

· Mereka berkesimpulan bahawa pada saat-saat tertentu, perut memang harus beristirehat dari bekerja memproses makanan yang masuk sebagaimana juga mesin harus diistirehatkan, apalagi di dalam Islam, isi perut kita memang harus dibagi menjadi tiga, sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk air dan sepertiga untuk udara.


4. Mengenal Nilai Kenikmatan

· Ramai manusia yang tidak tahu mensyukuri nikmat Allah.

· Maka dengan puasa, manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi tentang kenikmatan yang sudah diperolehnya, tapi juga disuruh merasakan secara langsung betapa besar sebenarnya nikmat yang Allah berikan kepada kita. Hal ini kerana baru beberapa jam saja kita tidak makan dan minum sudah terasa penderitaan yang kita alami, dan pada saat kita berbuka puasa, terasa betul besarnya nikmat dari Allah meskipun hanya berupa sebiji kurma atau seteguk air.

· Rasa syukur akan membuatkan nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya, Allah berfirman yang ertinya: Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, patii Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih (SURAH 14:7).


5. Mengingati dan Merasai Penderitaan Orang Lain

· Merasai kelaparan dan kehausan juga memberikan pengalaman kepada kita bagaimana beratnya penderitaan yang dirasai orang lain.

· Dari sini, semestinya puasa akan menumbuhkan dan memantapkan rasa belas kasihan kita kepada kaum muslimin lainnya yang mengalami penderitaan yang hingga kini masih belum diatasi, seperti penderitaan saudara-saudara kita di Ambon atau Maluku, Aceh dan di pelbagai wilayah lain di Tanah Air serta yang terjadi di serata dunia seperti di Chechnya, Kosovo, Iraq, Palestin dan sebagainya.

· Oleh kerana itu, sebagai simbol dari rasa sensitiviti itu, sebelum Ramadhan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat agar dengan demikian setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan-persoalan umat yang menderita.


Bahkan zakat itu tidak hanya bagi kepentingan orang yang miskin dan menderita, tapi juga bagi kita yang mengeluarkannya agar dengan demikian, hilang kekotoran jiwa kita yang berkaitan dengan harta seperti gila harta, kedekut dan sebagainya. Allah berfirman yang ertinya:

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdo’alah untuk mereka. Sesungguhnya do’a kamu itu (menjadi) ketentraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (SURAH 9:103)

sumber:
Ma'ahad Attarbiyyah Al-Islamiyyah